Saudaraku... My Kins...

BEGITU SUKARKAH BERLAKU ADIL KEPADA KEDUA IBU BAPA?
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Taha! Kami tidak turunkan Al – Quran ini kepadamu agar kamu susah. Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).
(Taha: 1-3)

Segala puji hanya bagi Allah SWT. Sesungguhnya Dia penguasa sekalian alam. Namun tidak pula Dia kejam malah Maha Mengetahui lagi Maha Pengampun. Diturunkan Al – Quran sebagai panduan kita. Jadi kenapa kita mahu menjadi terlalu sombong lalu berpaling dari rahmat Allah?

Bukankah Allah menyeru kita agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa? Berbakti kepada dua orang manusia yang telah banyak berkorban di dalam membesarkan kita. Allah menganjurkan kita agar berlaku lembut yakni menjaga tutur kata serta tidak menyakiti hati bahkan tidak pula mendera fizikal kedua insan istimewa ini. Sudah terang lagi bersuluh, maka mengapa masih kita seakan tidak peduli?

Terlupakah kita pada perintah ini sehingga kedua ibu dan bapa kita merempat di bumi tuhan? Terlekakah kita sehingga terdampar begitu ramai orang – orang tua di rumah perlindungan. Terlalaikah kita sehingga air mata pilu orang – orang tua itu menitik membasahi bumi?


(Perhatikanlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sedang dia memberi pengajaran kepadanya, (katanya): Hai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan itu adalah satu aniaya yang besar. Kami wasiatkan kepada manusia, terhadap ibu bapanya. Ibunya mengandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan dan menceraikannya dari susuan dalam dua tahun (yakni): Berterima kasihlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. KepadaKulah tempat kembali. Jika keduanya (ibu bapamu) memaksa, supaya engkau mempersekutukan Daku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui, maka janganlah engkau ikut keduanya dan bergaullah dengan keduanya di dunia, secara baik, dan turutlah jalan orang yang bertaubat padaKu. Kemudian tempat kembalimu adalah kepadaKu, lalu Kukhabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
(Luqman: 13-15)

Peringatan bagaimana lagikah yang kita dambakan? Firman Allah sudah terlalu jelas. Biarpun kedua ibu bapa kita mengajak kita menderhaka terhadapNya, namun masih kita wajib melayan keduanya dengan kebaikan di samping menolak ajakan itu. Jadi bagaimanalah tergamak kita ingkar terhadap perintah Allah yang Maha Esa?

Mungkin ada yang mengatakan, “Ah! Kedua orang tuaku adalah insan yang tidak bertanggungjawab.” “Ibu dan bapa saya tidak pernah menyayangi saya.” “Ibu dan bapa aku terlalu asyik bekerja sehingga tiada masa terhadap aku.” “Ibu dan bapa saya tidak menjamin saya saat saya ditahan kerana menghisap dadah.”

Tidak terfikirkah bahawa jika mereka terlalu asyik bekerja kerana ingin menyediakan kehidupan yang selesa kepada kita? Jika mereka tidak bersetuju dengan pilihan perkahwinan kita, kerana kita tidak pernah berusaha berbincang dan meyakinkan mereka. Kita hanya tahu bertengkar sahaja dengan mereka. Malah jika ada ibu yang menjual kehormatan diri, bukankah itu dilakukan semata untuk membesarkan anak – anak kerana tiada pilihan lain. Mengapa kita tidak pernah mahu berfikir sejenak dan cuba pula memahami perasaan kedua ibu bapa kita?
Nabi Allah Ibrahim dan bapanya.

Jelaskanlah kisah Ibrahim yang ada di dalam al – kitab (Al – Quran). Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar dan seorang nabi. Ingatlah! Ketika dia berkata kepada ayahnya: “Ayah! Mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong engkau sedikit pun? Ayah! Sesungguhnya aku telah memperoleh ilmu yang tidak engaku dapat. Maka ikutlah aku. Aku akan membimbingmu (menuju) jalan yang lurus. Ayah! Janganlah engkau menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu sangat derhaka kepada ar – Rahman (Tuhan yang Maha Pemurah). Ayah! Sesungguhnya aku khuatir bahawa engkau akan mendapat azab dari ar – Rahman, lalu engkau menjadi teman syaitan.” Ayahnya menjawab: “Ibrahim! Apakah engkau tidak menyukai tuhan – tuhanku? Kalau engkau tidak menghentikan usahamu, pastilah engkau kurejam dan tinggalkan aku selamanya.” Ibrahim menjawab: “Semoga keselamatan dilimpahkan untukmu. Aku akan memohon pengampunan bagimu kepada tuhanku. Sesungguhnya dia sangat baik terhadapku. Aku pasti akan menjauhkan diriku dari kamu dan dari berhala – berhala yang kamu seru selain Allah. Aku akan berdoa kepada tuhanku, semoga aku tidak kecewa dengan berdoa kepada tuhanku.”
(Maryam: 41-48)

Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim berdakwah kepada bapanya. Ayat baginda yang lembut lagi teratur dihampar bagi melembutkan hati bapanya, Aazar. Walau diancam dan dihalau oleh bapanya, baginda tetap berdoa akan keselamatan ayahnya. Mungkin ada yang mengatakan, “Ah! Nabi Ibrahim itu nabi. Memanglah akan bersabar. Kami ini manusia biasa.” Jika demikian, mengapa tidak kita berusaha mencontohi baginda? Bukankah Allah menurunkan semua kisah di dalam Al – Quran untuk dijadikan pedoman?

Sesungguhnya nabi dan rasul juga adalah manusia seperti kita. Apa yang membezakan mereka dengan kita hanyalah ketakwaan dan hakikat bahawa mereka pesuruh Allah. Ini bermakna kita juga mampu menjadi seperti mereka. Bukanlah menjadi nabi tetapi mempunyai sifat – sifat terpuji. Memang bukan mudah, namun bukankah telah ditinggalkan oleh Muhammad SAW, Al – Quran dan hadis sebagai pembimbing kita? Apa lagi alasan kita? Apa lagi yang ingin kita gunakan bagi membenarkan segala kesilapan yang kita lakukan?

Berlaku adillah

Kekadang kita terlalu berdendam sehingga kita biarkan perasaan marah mengaburi hikmah yang berada di depan mata. Berlaku adillah terhadap diri kita sendiri. Jangan biarkan dendam membutakan mata hati kita. Katakan, sekiranya kedua ibu bapa kita tidak menghantar kita ke sekolah misalnya, kita pula sangat berjaya di masa kini. Kita berasa marah dan membenci ibu bapa kita. Namun kita tetap berusaha sehingga berjaya. Bukankah itu satu hikmah? Apa yang akan terjadi sekiranya ibu bapa kita menghantar kita ke sekolah? Mungkin nasib dan takdir kita tidak akan beruntung seperti apa yang kita ada sekarang. Jangan terlalu memandang kebelakang sehingga terlupa untuk menghitung segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Berlaku adillah juga kepada kedua orang tua kita. Mereka juga manusia biasa. Mereka juga seperti kita yang sentiasa terdedah kepada kesilapan. Begitu sukarkah untuk memaafkan mereka? Mungkin kita dihantar untuk membesar dengan datuk dan nenek. Tak terfikirkah kita mungkin mereka terpaksa berbuat sedemikian di atas rasa kasih mereka terhadap kedua ibu bapa mereka? Mereka mungkin tetap menanggung kita pada masa itu tanpa kita sedari.

Biarpun mereka mungkin langsung tidak pedulikan kita. Mereka teruskan kehidupan tanpa membesarkan mahupun menyayangi kita. Namun, apa hak kita untuk menghukum mereka? Bukankah hanya Allah SWT sahaja yang berhak menghukum sekalian hambaNya? Kita hanyalah insan kerdil yang menumpang di bumi tuhan ini. Yakinlah dengan ketentuan Allah SWT.

Berlaku adillah terhadap Allah SWT dan junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Tiap keringat dan darah baginda yang menitis ke bumi Allah akan menjadi sia – sia, sekiranya kita tidak langsung berusaha mengikuti segala perintah Allah yang disampaikan baginda.
Tergamakkah kita?

Bukakanlah hati untuk saling bermaafan

Kami tiada menciptakan langit dan bumi dan apa – apa yang di antara keduanya, melainkan dengan kebenaran. Sesungguhnya hari kiamat akan tiba, sebab itu maafkanlah (mereka itu) dengan kemaafan yang baik. Sesungguhnya tuhanmu Maha Menciptakan lagi Maha Mengetahui.
(Al – Hijr: 85 – 86)

Bermaafanlah kita. Bak kata orang tua – tua, sedangkan Allah, tuhan Yang Maha Agong menerima taubat kita, sedang Nabi lagikan mengampuni umatnya, mengapa tidak kita sesama manusia. Berlebih pula memaafkan kesilapan kedua ibu bapa kita. Dua orang insan yang telah melahirkan dan membesarkan kita. Biar sebesar mana silapnya, bukanlah hati dan maafkan mereka agar tidak kita menjadi orang yang rugi.

Marilah bersama kita mencari keredhaan dan bukannya kemurkaan Allah. Kita telah ditunjukkan jalan, dibekal pula dengan peringatan, maka marilah kita berusaha menuju ke jalan yang benar.


Tolaklah (balaslah) kejahatan dengan cara yang terbaik. Kami lebih mengetahui apa – apa yang mereka sifatkan.
(Al – Mukminun: 96)

Sekiranya mereka, yakni kedua ibu bapa, kita anggap terlalu berdosa terhadap kita. Maka renunglah ayat di atas. Islam menganjurkan kita membalas kejahatan dengan kebaikan serta kelembutan. Insya’Allah, moga hidup kita semua akan sentiasa dilimpah cahaya rahmat dan hidayah dariNya. Wallahu’alam.
1 Response
  1. Liyana Musa Says:

    nice writing here..i like this post..thank you..it's befitting me..


  • Jangan menjerit tapi berbisiklah... Don't shout yet do whisper...


    ShoutMix chat widget

    Siapa tu?.. Who's there?..

    Yang Bertandang... Visitors...

    Website counter