Saudaraku... My Kins...
Salam. Si botak tidak berapa sihat. Tak larat rasanya nak berbuat banyak. Jadi si botak hanya berehat rehat sambil mendengar peti suara; jangan salah sangka,si botak mendengar radio. Bukannya mendengar pesanan di telefon
.....
Ayam....
Bermacam ayam....
.....
Ayam....
Bermacam ayam....
....
Kedengaran lagu lama yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang lebih pantas berlakon, Encik Jalil Hamid. Tersenyum si botak sendiri. Lagu ini amat ringkas tetapi padat dengan mesej mesej malah cukup menghiburkan.
....
Terkenang pula si botak akan satu pantun yang pernah dilagukan oleh Almarhumah moyangnya;
....
Ayam borek kelabu lincah,
Mari tambat tepi titi,
Rupa molek kelaku lincah,
Tak ubah air pembasuh kaki.
....
"Tok, apa maknanya?"
"Kalau orang bagi engkau air basuh kaki untuk ambik wuduk, boleh tak?"
"Tak boleh lah. Kan tu air mustakmal. Apa la tok ni."
Pecah tawa si moyang. "Ha, begitu lah jugak orang perempuan. Kalau rupa aje cantik, tapi perangai tak senonoh, mestilah orang tak nak. Dah tak boleh dipakai untuk bersuci."
....
Si botak tersenyum sendiri. Mengenang saat manis bersama Almarhumah. Meski bertahun Almarhumah pergi namun segala - galanya tidak pernah luput dari jiwa si botak.
....
Si botak tersenyum lagi. Mengenang betapa tinggi falsafah orang dulu dulu. Nasihat yang disampai tersusun cantik bahasanya. Jika marah sekalipun bunyinya tetap enak di dengar. Bukan macam sekarang. Orang bercakap tiada lagi lapik dan alas. Sesekali tajam bunyinya, mengoyakkan hati lantas menumbuhkan benci.
....
Si botak menggelengkan kepala. Mujur tak ada kelemumur, kalau tidak abis la gugur salji di atas bahu. Si botak tersenyum lagi. Betapa agung perintah Yang Esa. Kini terlalu ramai kaum hawa yang tidak lagi ingin bertudung. Panas kata mereka. Tapi disebabkan keadaan udara yang tidak bersih, mereka terpaksa berhabis ratusan ringgit sebulan, demi menjaga mahkota tercinta. Jika bertudung, mungkin ratusan ringgit itu dapat disalurkan kepada yang lebih memerlukan. Si botak tersenyum lagi.
....
Orang sekarang cantik cantik. Jika berkulit gelap, beli saja krim pencerah, tiap kali sayang.... Kesian orang Melayu. Kalau kulit gelap, suami tak mahu menyimpan wajah mereka dalam hati. Kalau kulit putih bak salju, maka akan kemek lah segala senduk. Dicampak ke lantai kerana sang suami nak kaup wajah yang putih dan simpan dalam hati. Masalah juga tu. Akan berbuku lah masak lemak bila ditimbuk tak rata.
....
Si botak tersenyum lagi. Ada pula yang bertudung litup, kadang kadang sampai ke buku lali labuhnya. Alhamdulillah. Tapi, terselak pula di bahagian bawah. Kadang kadang di tangga bangunan, kadang kadang di dalam semak, kadang kadang di atas motor pun jadi. Masyaallah.
....
Empat dara duduk di tepi sungai,
Duduk menjerat si ketam lah batu,
Elok rupa manis pulak perangai,
Membuat hati bertambah lah rindu
....
Tersedak pula si botak. Kedengaran pula alun merdu Noraniza Idris. Yang makin lembut tuturnya kini. Sedang berfikir tentang anak dara, keluar pula lagu ini. Si botak tertawa pula kini. Anak dara dulu duduk di tepi sungai sambil bergurau senda, membasuh pakaian dan boleh pula menjerat ketam. Boleh di bawa balik dan masak lemak cili api.
....
Anak dara sekarang. Di sungai juga duduknya. Bergurau senda bersama kekasih hati. Bawa balik juga, bawa balik anak untuk dijaga oleh keluarga. Tetap sama situasinya. Bawa balik rezeki. Kalau tak sempt ke rumah, rezeki yang dibawa akan tercicir di tong tong sampah.Jadi rezeki si anjing liar pula.
....
Si botak menggaru kulit kepala yang tidak gatal. Gatal hatinya dan gatal juga fikirannya. Mengenang begitu ramai yang ingin menjadi air pembasuh kaki. Bukankah lebih bagus menjadi air mutlak. Yang suci lagi menyucikan.Si botak menangis pula sendiri.....
0 Responses
Post a Comment
Subscribe to:
Post Comments (Atom)